JOHOR BAHRU 11 Jan. - Umat Islam wajib memboikot barangan Amerika Syarikat (AS) dan Yahudi sebagai usaha membantu perjuangan rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot (gambar) berkata, tindakan itu juga merangkumi usaha mengelakkan diri daripada melancong atau melabur di negara tersebut.
"Hukum memboikot barang AS kini jatuh wajib dan jika ada sesiapa yang tidak mahu memboikot maka hukum menyokong AS dan Israel ialah lawan bagi wajib iaitu haram," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menegaskan, hukum wajib itu tepat kerana adalah jelas AS dan Israel kini terus degil, sombong, takbur, bongkak, tidak berperikemanusiaan, musuh agama dan membunuh manusia tidak berdosa termasuk kanak-kanak, wanita dan warga tua di Gaza.
"Usaha ini juga perlu berterusan dan jangan hangat-hangat tahi ayam," katanya.
Nooh berkata, negara-negara Islam dicadangkan mengelak daripada menghantar pelajarnya ke AS dan mencari negara alternatif yang menawarkan kepakaran yang sama.
"Kalau negara lain sudah tiada kepakaran dalam bidang tertentu baru kita hantar ke AS kerana melalui pelaburan pendidikan, penginapan dan sebagainya, AS mengaut keuntungan besar," katanya.
Selain itu menurutnya, masyarakat Islam perlu mengelak daripada melancong ke AS sebaliknya memilih destinasi menarik lain khususnya ke negara-negara Islam.
"Selain itu sudah sampai masanya, negara-negara Islam melalui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mewujudkan pasukan tentera sendiri seperti yang dimiliki negara-negara Eropah dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)," katanya.
Nooh berkata, langkah itu penting untuk memastikan keselamatan dan pertahanan umat Islam agar tidak dikotak-katikkan oleh musuh Islam.
Selain itu, menurutnya, peranan masyarakat Islam dunia khususnya dari kalangan negara kaya ialah menaja pendidikan rakyat Palestin yang berpotensi di universiti tempatan.
"Ini kerana aspek pendidikan amat penting dan para pelajar Palestin akan menjadi modal insan penting untuk membantu pembangunan dunia Islam pada masa depan," jelasnya.